Monday, July 03, 2006

Berita Harian (Malaysia) - 1 July 2006



KUALA LUMPUR: Walaupun mempunyai kemudahan pengangkutan udara ke Makkah, seorang pemuda warga Singapura bercadang mengunjungi Tanah Suci melalui jalan darat dengan menggunakan motosikal.

Pereka bentuk multimedia dan artis, Harman Hussin, 33, bakal memulakan penjelajahan pada 11 September ini dengan melalui beberapa negara sebelum menunaikan haji di Tanah Suci pada Disember ini.

“Kuala Lumpur adalah persinggahan pertama dan penjelajahan ini adalah untuk mengetahui tanggapan serta bertukar pandangan mengenai Islam dengan masyarakat luar di samping menunaikan haji jika tiada halangan.

“Saya bercadang menggunakan motosikal tetapi jika ada halangan dari negara lain, saya akan menggunakan kenderaan lain, asalkan masih menggunakan jalan darat.

“Antara negara bakal dilalui sepanjang penjelajahan yang mengambil masa selama tiga bulan itu ialah Malaysia, Thailand, Myanmar, India, Pakistan, Iran dan seterusnya negara-negara Arab,” katanya.

Selain itu katanya, penjelajahan itu akan didokumenkan dan dipamerkan supaya orang ramai dapat mengetahui situasi sebenar negara yang dilalui serta pandangan masyarakat luar mengenai Islam.

Beliau berkata, tanggapan masyarakat luar mengenai Islam yang sering dikaitkan dengan keganasan wajar diperbetulkan kerana ia mencemarkan imej Islam satu agama suci dan mementingkan keamanan.

“Tidak dinafikan penjelajahan ini membabitkan peruntukan kewangan yang agak besar iaitu kira-kira RM69,000, tetapi jika kewangan tidak mengizinkan saya akan hanya memilih beberapa negara saja sebelum meneruskan perjalanan ke Tanah Suci.

“Untuk menampung perbelanjaan penjelajahan ini, saya menjual baju-t yang coraknya dihasilkan sendiri. Saya tidak mahu mengutip derma kerana tidak mahu niat murni disalah anggap tetapi jika ada yang mahu menyumbang saya terima dengan tangan terbuka,” katanya.

Beliau berkata, persiapan fizikal dan mental amat dititikberatkan selain mempelajari budaya masyarakat negara yang bakal dilalui kerana tidak mahu perbezaan budaya menjadi halangan meneruskan hasratnya.

Bagi yang ingin membeli baju-t dan mendapatkan maklumat lanjut mengenai penjelajahan ke Makkah boleh melayari blog http://road2mecca.blogspot.com

__________________________________________

Reference:
http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Saturday/Nasional/20060701000222/Article/

1 Comments:

Anonymous Anonymous said...

Back to original idea of bike ride? Cost S$30K? (RM69,000). With Allah's help you should be able to raise the amount. Havent read the Kosmos article as dont know how to read it from screen. I can read the BHM article tho.

My best wishes for your niat coming true.

11:43 PM  

Post a Comment

<< Home